Hanya satu pusat pemindahan mangsa banjir masih dibuka di Sabah

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (29 DIS): Mengambil kira keadaan semasa cuaca dan banjir yang kian surut di negeri ini hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) menempatkan mangsa banjir dibuka manakala lapan lagi telah ditutup.

Setakat jam 8 pagi tadi, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah melaporkan satu-satunya PPS yang masih dibuka menempatkan seramai 653 mangsa daripada 113 Ketua Isi Rumah (KIR) iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2, Sandakan.

Manakala, lapan PPS melibatkan dua di Kota Belud dan enam di Pitas telah ditutup yang membolehkan kesemua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing sejak petang kelmarin.

Untuk rekod, seramai 135 mangsa banjir di Kota Belud melibatkan PPS Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Chung Hwa, (73 mangsa) dan Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kota Belud (62 mangsa).

Sementara di Pitas seramai 766 mangsa daripada 177 KIR di enam PPS turut dibenarkan pulang pada jam 4 petang semalam.

Kesemua mereka dari PPS Balai Raya Agropolitan Kampung Pinggan-Pinggan (297 mangsa), Dewan Kampung Mempakad (163 mangsa), Dewan Terbuka Kanpung Rosob (156 mangsa), Gereja SIB Kampung Luntuk (79 mangsa), Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinggan-Pinggan (55 mangsa) dan Dewan Terbuka Kampung Salimpodon (16 mangsa).