Hajiji dapat restu PM terajui Kerajaan Negeri Sabah

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (10 JAN): Kepimpinan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), selaku Ketua Menteri dalam menerajui Kerajaan Negeri mendapat restu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pertemuan yang dilakukan di kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah di Sri Gaya semalam dilakukan bagi merungkai kemelut politik di negeri ini dalam mencari formula terbaik menyelesaikan isu berkenaan daripada terus berlarutan.

Mengulas lanjut, Anwar bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mahukan kerajaan Sabah yang ditadbir akan terus dikukuhkan di bawah pimpinan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu.

“Saya ucap terima kasih kepada Ketua Menteri Hajiji dan rakan-rakan yang bersama mendengar semua pandangan dan Datuk Seri Zahid kerana kita mahu kerajaan Sabah itu kukuh di bawah pimpinan Ketua Menteri Hajiji.

“Kita mahu Kerajaan Sabah yang kuat bawah kepemimpinan beliau.

“Esok (hari ini), satu rang undang-undang (RUU) penting untuk mengembalikan hak Sabah melalui pembentangan menteri Kabinet (persidangan Dewan Undangan Negeri).

“Ini satu perubahan yang besar. Bagi saya, ini adalah keutamaan… beri peluang kepada Ketua Menteri untuk bincang dan mencari satu formula terbaik untuk kebaikan Sabah,” katanya.

Terdahulu selepas mengadakan pertemuan tertutup lain di Magellan Sutera, Anwar menjelaskan, keputusan berhubung kemelut politik di negeri ini berada dalam tangan pemimpin Sabah sendiri.

Perdana Menteri berkata, beliau hanya mampu memberi nasihat dalam usaha mengatasi isu berkenaan, namun menyifatkan keadaan kini sudah semakin baik.

Pertemuan yang diadakan adalah secara tertutup bagi membincangkan jalan penyelesaian kemelut politik di Sabah yang melanda sejak beberapa kebelakangan ini.

Rombongan Perdana Menteri disertai Menteri Dalam Negeri Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Zamry Abdul Kadir, dan Ketua Pemuda Umno Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.