GRS beri sokongan buat PN dan parti lain bentuk kerajaan

SEYBI SABBY

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (21 NOVEMBER): Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengesahkan telah melakukan pertemuan dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin semalam.

Pertemuan dilakukan bagi menyatakan sokongan beliau terhadap pengerusi PN dipilih sebagai Perdana Menteri ke-10 sekaligus membentuk kerajaan Persekutuan bersama PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti-parti lain yang turut bersedia membentuk kerjasama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, GRS meletakkan pandangan adalah perlu pembentukan Kerajaan Persekutuan dilaksanakan pada kadar segera untuk memastikan Kerajaan dapat berfungsi sepenuhnya, khususnya dalam memuktamadkan penggubalan belanjawan untuk tahun 2023.

Jelasnya lagi, GRS sentiasa komited untuk membawa citra kesatuan demi kepentingan rakyat dan tanah air.