Golongan OKU dan OKU penglihatan di Sabah terus diberi perhatian: Hajiji

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited untuk membantu golongan orang kurang upaya (OKU) dan OKU penglihatan di Sabah bagi memastikan mereka tidak terpinggir daripada pelbagai aspek.

Perkara itu dinyatakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika merasmikan Sambutan Hari Braille Sedunia Peringkat Kebangsaan di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tanjung Aru, di sini hari ini.

Jelasnya, seramai 43,214 OKU termasuk 3,597 OKU penglihatan telah mendaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKA), setakat 29 Disember lalu.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa dan keluarga agar mendaftarkan ahli keluarga yang OKU atau mempunyai cacat penglihatan ke JPKA Sabah bagi membolehkan mereka dibantu.

“Pendaftaran butiran mereka di bawah Pejabat Kebajikan Am Negeri amat penting supaya mereka dapat dibantu khususnya dalam pemberian nilai tambah berupa kemahiran. Ini juga bagi membolehkan mereka hidup berdikari dan menyumbang kepada diri sendiri dan keluarga.

“Pendaftaran itu juga bagi memudahkan kerajaan untuk merancang penyediaan kemudahan dan perkhidmatan yang lebih baik dan bersesuaian dengan keperluan golongan ini. Terdapat banyak keistimewaan kepada golongan OKU yang telah berdaftar termasuklah memudahkan urusan saluran bantuan dan faedah kepada mereka,” katanya.

Hajiji berkata, Hari Braille Sedunia disambut untuk memberi kesedaran dan pendedahan kepada masyarakat betapa pentingnya kewujudan Braille sebagai medium komunikasi dalam pengiktirafan hak sasi manusia kepada OKU Penglihatan.

Katanya, penggunaan Braille berjaya membantu mereka keluar daripada kepompong tidak boleh membaca. Hal ini merupakan elemen yang penting dalam meningkatkan kualiti hidup dan memperkasakan kerjaya mereka.

“Atas komitmen itu, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan hak yang sama rata untuk golongan ini, antaranya ialah penajaan kepada OKU Penglihatan untuk menyertai program keusahawanan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Urut Terapi Tahap 3 yang dianjurkan oleh Pertubuhan Amal Pembangunan Usahawan OKU Penglihatan (PERKUM) Malaysia. Program ini untuk membantu golongan ini menjadi usahawan yang berjaya dan berdikari.

“Pertubuhan bagi Orang-Orang Buta Sabah turut memainkan peranan penting dalam memberikan perkhidmatan termasuk maklumat berkaitan peluang pekerjaan kepada golongan OKU Penglihatan. Pertubuhan bagi Orang-Orang Buta Sabah kini mempunyai tiga (3) cawangan yang sedang beroperasi di Sandakan, Keningau dan Tawau,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana Perpustakaan Negeri Sabah merupakan perpustakaan pertama di negara ini yang menyediakan perkhidmatan dan kemudahan untuk golongan OKU Penglihatan.

“Perpustakaan Negeri Sabah juga sentiasa komited dalam membantu dan memberi sokongan kepada golongan OKU Penglihatan. Ini termasuklah menganjurkan Bengkel Tactile untuk menghasilkan buku tactile khas atau bengkel menyediakan buku cerita dalam bahasa braille bagi golongan OKU Penglihatan, termasuk menyediakan lebih banyak koleksi buku berbentuk text braille,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.