Galak belia lepasan SPM/STPM timba kemahiran buat roti
BEAUFORT: Golongan belia khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di kawasan Kampung Maraba digalakkan untuk menimba kemahiran dalam proses pembuatan roti bagi tujuan membantu meningkatkan ekonomi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkata, perlu ada pihak yang memainkan peranan untuk menarik para belia meminati pelbagai bidang kemahiran.
“Saya mencadangkan kepada Pergerakan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) agar mengajak terutama golongan belia lepasan SPM dan STPM yang sedang menunggu panggilan melanjutkan pelajaran untuk bersama atau memberi kemahiran di dalam pembuatan kuih bun.
“Saya difahamkan persatuan ini melakukan aktiviti pembuatan kuih secara berkumpulan bagi meningkatkan ekonomi diri dan keluarga,” katanya menerusi satu kenyataan selepas melawat dan memberi sumbangan kepada Pusat PWPK RISMA di sini, hari ini.
Ruslan yang juga Pembantu menteri kepada ketua Menteri telah menyampaikan sumbangan berupa kipas angin dan sumbangan tunai kewangan bagi kegunaan PWPK yang diterima oleh Pengerusinya, Jumarian Sudding.
“Seterusnya saya menyampaikan sebuah mesin uli tepung 5 kilogram (kg) kepada pihak PWPK yang disumbangkan oleh pihak RISDA Beaufort yang turut sama hadir.
“Semoga dengan adanya pemantauan daripada pihak RISDA ini akan dapat membantu meningkatkan lagi pendapatan PWPK di kampung ini,” katanya.