Fokus pada teknologi, inovasi untuk rancakkan sektor minyak sawit

KOTA KINABALU (12 SEPT): Kerajaan Negeri akan memaksimumkan penggunaan teknologi dan inovasi bagi meningkatkan produktiviti, daya saing dan pembangunan sektor minyak sawit.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, kemajuan yang semakin meningkat dalam sektor minyak sawit dan penambahbaikan infrastruktur serta insentif kerajaan menyediakan peluang perniagaan yang sangat baik kepada pemain industri untuk menceburi sektor hiliran.

Sabah mempunyai sembilan buah kilang penapisan minyak sawit dengan kapasiti pemprosesan 7.48 juta tan setahun manakala dua buah kilang biodiesel beroperasi untuk mengeluarkan 300,000 tan biofuel setahun, katanya.

Dr. Joachim (tiga dari kiri) menerima cendera kenangan daripada Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir

Kerajaan Negeri telah membangunkan dua lokasi strategik iaitu Kluster Perindustrian Kelapa Sawit Lahad Datu dan Sandakan (POIC), kata Hajiji pada pameran dan Seminar Pemindahan Teknologi (TOT) Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr. Joachim Gunsalam.

POIC telah ditubuhkan sebagai hab bersepadu yang menyediakan peluang pelaburan dalam sektor hiliran dan pelabuhan untuk menyokong aktiviti eksport dan import minyak sawit.

Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan, Indonesia juga akan membantu meningkatkan ketersambungan dan kecekapan pengangkutan termasuk produk kelapa sawit, katanya sambil menambah, perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur akan mewujudkan limpahan ekonomi ke Sabah.

Atas sebab itu katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM65.97 juta kepada Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID) termasuk Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) bagi memperkasa pembangunan sektor perindustrian negeri.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sejumlah RM116.67 juta telah diluluskan untuk MID bagi menampung keperluan pembangunan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), POIC Lahad Datu dan Taman Perindustrian Minyak & Gas Sipitang (SOGIP).

Ketua Menteri berkata, kerjasama antara Kementerian dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam penganjuran TOT Sabah 2022 memberi ruang kepada usahawan dan pelabur untuk menceburi pengkomersialan dalam sektor hiliran minyak sawit.

Teknologi yang ditawarkan oleh MPOB terdiri daripada formulasi produk makanan kepada produk oleokimia dan biomas serta tenaga hijau yang dihasilkan oleh kilang penapisan.

“Saya yakin penglibatan syarikat tempatan dalam pengkomersilan teknologi industri sawit akan menjana pendapatan dan menyumbang kepada pembangunan keseluruhan industri,” kata Hajiji.

Beliau berkata, pembangunan kilang oleokimia mempunyai potensi yang besar dalam pembangunan sektor hiliran memandangkan belum ada seumpamanya wujud di Sabah dan Sarawak.

Selain hampir tidak mempunyai sebarang pesaing di Sabah, pelabur dalam sektor oleokimia juga boleh yakin dengan bekalan bahan mentah yang konsisten dalam bentuk minyak sawit, yang lebih mesra alam dan pada kos yang kompetitif berbanding bahan mentah lain, terutamanya petrokimia.

Beliau juga berbesar hati apabila menyatakan dua syarikat yang berpangkalan di Sabah telah bekerjasama dengan MPOB untuk mengeluarkan produk berasaskan kelapa sawit bernilai tambah.

Usahasama antara MPOB dan Sabah Softwoods Hybrid Fertiliser Sdn Bhd telah menghasilkan pengeluaran baja bio GanoEF untuk mengawal penyakit Ganoderma dalam kelapa sawit.

Satu lagi usaha sama antara MPOB dan Konsortium Koperasi Penanam Kelapa Sawit Lestari Sabah untuk mengkomersialkan teknologi produk pembersihan berasaskan kelapa sawit, yang pertama di Sabah.

“Ia membuka peluang dalam pembangunan oleokimia melalui penghasilan elemen asas untuk produk pembersihan dan penjagaan diri serta industri untuk pasaran tempatan dan eksport,” katanya.

Hajiji berkata, pintu Kerajaan Negeri sentiasa terbuka kepada pelabur dalam dan luar negara, serta mereka yang berminat untuk membina perkongsian menang-menang antara sektor awam dan swasta, khususnya dalam pengkomersilan teknologi berkaitan kelapa sawit.

Sumber: UB