
Filem kisah sejarah perjuangan Sabah perlu dihayati generasi muda

editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (9 JAN): Isteri Ketua Menteri Datin Seri Panglima Juliah Salag berkata, filem berunsur sejarah Sabah seperti ‘Silence of The 177’ adalah penting dihayati oleh generasi muda negeri ini supaya mereka memahami sejarah perjuangan generasi terdahulu menentang penjajah asing.
“Generasi muda perlu didedahkan dengan filem-filem patriotik tempatan yang mengetengahkan kisah benar perjuangan para pejuang kita menentang penjajah kerana ramai dalam kalangan mereka tidak tahu berkenan kisah dan sejarah berkenaan.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pengarah dan Penerbit filem ‘The Silence of the 177’ Marcellus Abas dan krew kerana berjaya menerbitkan filem kisah sejarah Sabah.
“Ini adalah filem sejarah Sabah yang kedua diterbitkan selepas filem Mat Salleh Pahlawan Sabah yang diterbitkan pada era awal 80an yang mengisahkan penentangan terhadap penjajah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat daripada rombongan Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) dan Marcellus Abas di kediaman rasmi Ketua Menteri Sri Gaya di sini hari ini.
IKRAR yang diketuai oleh pengarahnya Azrul Ibrahim turut menjemput Juliah bersama-sama ratusan belia untuk menyaksikan tayangan filem ‘The Silence of the 177’ yang akan mula ditayangkan di seluruh negara bermula 12 Januari 2023.
Juliah berharap lebih banyak filem mengenai sejarah negeri ini akan diketengahkan oleh pengarah dan penerbit filem, termasuk kisah Bobohizan yang memainkan peranan penting dalam perayaan Pesta Kaamatan.
“Kisah mengenai Bobohizan semakin dilupakan oleh generasi muda negeri ini, usaha perlu dibuat untuk membuat filem mengenainya”, katanya.
Sementara itu, Azrul berkata, IKRAR akan membantu promosi filem itu sebagai usaha membantu penggiat seni tempatan yang mengetengahkan filem berunsur sejarah Sabah.