Festival kulintangan beri ruang pemimpin santuni masyarakat setempat

Beaufort : Penganjuran festival kulintangan yang julung kali dianjurkan Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) memberi ruang kepada pemimpin menyantuni masyarakat setempat.

Presiden PBBS Datuk Ruslan Muharam berkata, penganjuran program seumpama itu juga dapat memberi pendedahan kepada pemimpin akar umbi melaksanakan suatu program kemasyarakatan.

“Malam ini (semalam) saya hadir merasmikan program, yang dianjurkan PBBS bagi Zon Lupak iaitu festival kulintangan 2024 dan ini merupakan julung kali dianjurkan di Zon Lupal.

“Tujuan penganjuran program ini adalah bagi memberi ruang dan peluang kepada pemimpin PBBS disetiap zon untuk menganjurkan program-program seumpam ini kerana kita mahu memberi pendedahan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan festival kulintangan yang dianjurkan PBBS Zon Lupak di Dewan Kampung Lupak di sini semalam.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, pemimpin akar umbi merupakan pelapis kepada kepimpinan majlis tertinggi yang ada pada masa kini.

“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa pelaksana festival ini kerana berjaya menganjurkan program yang sangat baik untuk mengangkat keunikan kesenian masyarakat Bisaya,” katanya.

Selain kulintangan, pelbagai acara lain turut diadakan antaranya pertandingan gasing, melastik dan sebagainya.