Empat rumah musnah dijilat api di Lahad Datu
Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
LAHAD DATU (16 JAN): Satu kejadian kebakaran melibatkan empat rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dijilat api berlaku di Jalan Mawar, Kg Sri Menanti, dekat sini lewat pagi Ahad.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.51 pagi menerusi MERS 999.
“Seramai 24 pegawai dan anggota bersama enam jentera, termasuk empat utiliti dikerah ke lokasi kejadian.
“Empat rumah terlibat adalah jenis tidak kekal masing-masing berkeluasan 30 x 30 dan 20 x 20 kaki persegi.
“Api berjaya dikawal pada jam 3.39 pagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Tiada mangsa cedera atau kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Usaha menyelamat dan menadam api turut dibantu Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Operasi ditamatkan pada jam 5.25 pagi.