Empat pintu rumah pekerja musnah terbakar

KUNAK: Empat keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas satu blok rumah pekerja musnah dalam kebakaran di Jalan Semporna-Kunak, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, kebakaran memusnahkan empat pintu rumah pekerja jenis tidak kekal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohammad Omarbatha berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.47 pagi.

Katanya, susulan itu, seramai lima anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi memadam.

“Kita juga mendapat bantuan seramai lapan anggota dan pegawai daripada BBP Semporna bersama sebuah jentera.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati satu blok rumah kongsi pekerja berkeluasan 80×25 kaki sudah musnah terbakar,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba segera melakukan operasi memadam supaya api tidak merebak ke kawasan rumah pekerja berhampiran.

“Semua mangsa berjaya menyelamat diri dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan yang dilaporkan setakat ini.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.48 pagi,” katanya.

Sumber: Utusan Borneo