Empat penumpang cedera kemalangan dua kenderaan
KOTA KINABALU: Empat penumpang mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Kemajuan di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata kejadian jam 9.55 malam itu membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang melanggar bahagian sisi kereta pacuan empat roda.
Beliau berkata bertindak dengan kejadian sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi penyelamatan.
“Terdapat enam mangsa keseluruhan yang terlibat dalam kejadian ini termasuk pemandu kedua-dua kenderaan.
“Pasukan bomba mengeluarkan dua mangsa wanita masing-masing berumur 10 dan 25 tahun yang mengalami kecederaan ringan di dalam kenderaan MPV.
“Dua lagi mangsa berumur empat dan enam tahun yang mengalami trauma turut dikeluarkan sebelum kesemua mangsa diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan Unit Rim di lokasi,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua pemandu kenderaan berumur 43 dan 48 tahun bagaimanapun selamat tanpa sebarang kecederaan.
Katanya operasi keseluruhan ditamatkan jam 10.15 malam selepas memastikan keadaan lokasi selamat dari sebarang punca bahaya.
Sumber: Utusan Borneo