
Dua warga Filipina ditahan cuba seludup barang kawalan di Kudat

Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
KUDAT (12 JAN): Sebuah bot pam yang cuba melakukan aktiviti seludup membawa keluar barang kawalan ke negara jiran berjaya digagalkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat, dekat sini semalam.
Menurut Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, kira-kira jam 2.50 pagi itu, pihaknya berjaya menahan dua lelaki warga Filipina berumur 24 dan 50 tahun menggunakan bot pam tidak bernombor sarat dengan muatan lebih kurang 1.1 batu nautika di timur muara Sungai Tambalugu.
Hasil pemeriksaan didapati kedua-dua individu itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah mengendalikan bot terbabit.
Sementara itu, barangan yang dibawa turut dikategorikan sebagai barang kawalan dan disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran berhampiran.
Kedua-dua suspek bersama bot dan barangan kawalan dirampas dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat untuk tindakan lanjut.
Antara barang rampasan dua tong grum berwarna biru berisi minyak petrol lebih kurang 400 liter, 44 tong kecil yang juga berisi 1320 liter petrol dan 30 liter diesel.
Kes disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.