
Dua tapak dicadangkan bagi pembinaan sekolah rendah baharu

Beaufort : Dua tapak tanah dicadangkan untuk pembinaan dua buah sekolah rendah yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam berkata, tapak tanah itu terletak di atas tanah milik Koperasi Pembangunan Desa (KPD) di Kampung Lingkungan.
Selain itu katanya, sebuah lagi tapak dicadangkan adalah di kawasan strategik berhampiran kawasan penempatan penduduk Kampung Tamalang Along.
“Pagi tadi saya telah diiringi oleh Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Lumadan bersama Pegawai Pendidikan Daerah serta beberapa pegawai agensi Kerajaan mengadakan lawatan kerja meninjau dua tapak cadangan awal bagi pembinaan sekolah rendah baharu dalam kawasan DUN Lumadan.
“Dua lokasi utama yang ditinjau ialah bagi tapak cadangan Sekolah Kebangsaan (SK) Lingkungan yang dicadangkan dibina di atas tanah milik KPD di Kampung Lingkungan.
“Sebuah tapak lagi adalah cadangan bagi membina SK Bukau yang dicadangkan dibina di sebuah tapak strategik berhampiran kawasan penempatan penduduk Kampung Tamalang Along,” katanya.
Namun Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan bahawa kedua-dua lokasi itu masih berada di peringkat cadangan dan penilaian awal sahaja.
Katanya, setakat ini tiada sebarang keputusan muktamad dibuat kerana ia masih memerlukan kajian menyeluruh, perbincangan antara agensi teknikal dan pengesahan rasmi daripada pihak berkaitan.
“Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha kita untuk merancang keperluan pendidikan masa depan secara lebih teliti, berpaksikan realiti setempat dan aspirasi rakyat.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang turut hadir serta menyumbang kepada pelaksanaan tinjauan ini. Semoga niat dan usaha ini diberkati serta dipermudahkan segala urusan oleh Allah SWT,” katanya