
Dua sekolah menengah di DUN Lumadan perlu diberi perhatian untuk diselenggara

Beaufort : Dua buah sekolah menengah yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan perlu diberi perhatian kerana bangunan sekolah terlibat sudah berusia dan memerlukan penyelenggaraan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam berkata, dua sekolah itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong dan SMK Weston.
Katanya, sekolah-sekolah itu juga wajar dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe13) termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Lupak yang sebelum ini struktur bangunan (bumbung) rosak akibat diterbangkan ribut.
“Walaupun sekolah dengan bangunan kayu di DUN Lumadan belum dikategorikan dalam skala tujuh (tidak selamat) struktur bangunan yang sudah berusia dikhuatiri akan menjejaskan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) sekiranya berlaku sesuatu di luar jangkaan.
“Justeru saya berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah dapat membuat penilaian terhadap dua sekolah ini bagi membolehkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beaufort menyediakan laporan untuk dipertimbang dalam RMKe13,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Restu Ilmu di Dewan Asrama SMK Gadong, di sini.
Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, pihaknya akan berbincang dengan Ahli Parlimen Sipitang bagi menyuarakan perkara itu dalam sidang Parlimen akan datang.
Katanya, ia adalah bagi memastikan kementerian terlibat dapat mengambil tindakan sewajarnya dengan menaiktaraf sekolah-sekolah lama.
“Persekitaran sekolah yang selesa, selamat dan kondusif bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pelajar tetapi juga guru-guru yang berkhidmat di sekolah terbabit, yang diyakini dapat menyumbang kepada jumlah peratusan pelajar cemerlang.
“Ramai pelajar cemerlang di DUN ini dan ada yang meraih keputusan 9A namun kita sasarkan lebih banyak yang mendapat keputusan baik akan tetapi cabaran terhadap mendidik pastinya terganggu sekiranya ada bilik darjah tidak dapat digunakan disebabkan beberapa faktor,” katanya.