Dua peserta dari Sipitang, Beaufort akan berentap dalam Majlis Tilawah dan MTHQ peringkat negeri

Beaufort: Qari mewakili daerah Sipitang Mohd Hafiz Batu Bara Manshuruddin dan Qariah yang mewakili Beaufort Nurain Residi akan berentap dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) Peringkat Negeri 1446H/2025M.

Hafiz dan Nurain masing-masing meraih kejuaraan pada MTHQ Peringkat Bahagian Pedalaman Bawah 2025 yang berlangsung di Dewan Pa’ Musa, di sini malam tadi.

Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam.

Hadir sama Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias Datuk Isnin Aliasneh

Johan bagi Qari dan Qariah masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai, sijil dan hadiah iringan.

Ruslan ketika berucap berkata, sesuatu kejayaan tidak hanya dilihat dari segi material atau kemajuan ekonomi tetapi juga dari segi kesejahteraan rohani dan sosial.

Katanya, dalam konteks Malaysia Madani, Al Falah mengajak semua pihak untuk merenung dan menerapkan nilai-nilai luhur yang terkandung dalam Al- Quran ke dalam kehidupan seharian masyarakat.

“Negara kita kini berdepan dengan pelbagai cabaran global dan domestik, dari perubahan iklim yang semakin mendesak, ketidaksamarataan ekonomi, sehingga kepada perpecahan sosial yang menuntut kesatuan.

“Dalam keadaan ini, Al- Quran sebagai sumber petunjuk yang paling utama, mengajar kita untuk mengutamakan perpaduan, keadilan dan kebajikan untuk mencapai kesejahteraan yang berterusan.

“Kita melihat sendiri betapa pentingnya nilai-nilai Al-Quran untuk mengatasi masalah sosial dan memperbaiki kualiti hidup masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Ruslan berkata, dalam dunia yang serba pantas ini, masyarakat sering terlupa untuk mendalami ajaran- ajaran Al-Quran yang sangat relevan dengan isu semasa seperti integriti, kesejahteraan dan keadilan sosial.

“Melihat kepada perkembangan Malaysia Madani yang digagaskan oleh kerajaan, kita diingatkan untuk memastikan bahawa setiap aspek pembangunan negara, baik dari segi ekonomi, pendidikan, sosial mahupun keagamaan berteraskan kepada nilai-nilai ini tidak hanya akan maju secara meterial, tetapi juga akan mewujudkan masyarakat yang adil, makmur dan sejahtera,” katanya