Dua klinik kesihatan di Lumadan dicadang untuk dinaik taraf

Beaufort : Dua klinik kesihatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan dicadang untuk dinaik taraf bagi memberi keselesaan kepada pesakit dan pengunjung yang datang pada setiap hari.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam berkata, dua klinik berkenaan adalah Klinik Desa Gadong dan Klinik Kesihatan Kabajang.

“Hari ini saya bersama pemimpin setempat dan para pegawai beberapa agensi Kerajaan melawat satu tapak baru bagi cadangan membina Klinik Kesihatan di Kampung Lupak dan melawat dua klinik yang dicadang untuk dinaik taraf.

“Selain itu, saya juga meninjau Klinik Kesihatan Padas Damit yang sudah mendapat satu bangunan baru, yang mana saya telah cadangkan pada tahun 2022 dan pelaksanaanya telah dapat dilakukan pada tahun 2024 dan siap sepenuhnya di tahun yang sama iaitu 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke klinik-klinik berkenaan di sini hari ini.

Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, bagi Klinik Desa Gadong bakal mempunyai kelengkapan X-ray.

Katanya, kawasan baharu juga turut dikenal pasti bagi menaik taraf linik Kesihatan Kabajang.

“Sepanjang dalam tempoh empat tahun kita telah mendapat membangunkan bangunan baru Klinik Kesihatan Weston, Klinik Kesihatan Lingkungan dan Klinik Kesihatan Padas Damit.

“Dengan adanya bangunan baru ini, sudah tentu memberi keselesaan kepada masyarakat yang menjadi pelanggan kepada klinik berkenaa,” katanya.

Tambahnya, fasiliti yang ada juga berupaya memberi keselesaan kepada petugas kesihatan dalam menjalankan tanggungjawab.

“Kita juga melihat beberapa penambah baik seperti stor, pagar dan lain lain dari masa ke semasa bagi memenuhi keperluan klinik,” katanya.