Dua keluarga sehelai sepinggang, rumah pekerja terbakar di Lahad Datu

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

LAHAD DATU (19 JAN): Satu kebakaran melibatkan satu blok rumah dua pintu hangus sama sekali berlaku di Ladang Bukit, Tabin Jalan Tungku, semalam.

Difahamkan, kebakaran kira-kira jam 1.50 petang itu telah menyebabkan dua keluarga hanya tinggal sehelai sepinggang selepas api yang marak dengan cepat memusnahkan kawasan perumahan pekerja ladang di situ.

Menurut Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.55 petang.

Jelasnya, seramai 12 anggota dan pegawai bersama empat jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Api yang marak berjaya dikawal pada kira-kira jam 3.11 petang.

Setakat ini, tiada kemalangan jiwa atau mangsa yang cedera dalam kejadian itu.

Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 4.25 petang dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.