Dibaham buaya, jasad lelaki masih belum jumpa

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

SEMPORNA (3 FEB): Sehingga detik ini, usaha mencari jasad lelaki berusia 36 tahun warga Filipina yang dibaham buaya lewat Ahad lalu di Blok 44 Sungai Pegagau dekat sini masih belum menemui sebarang petanda positif.

Keterangan awal mendapati, mangsa dikenali sebagai Marvin Susa Dequillia bersama tujuh rakannya memancing di lokasi kejadian.

Menerusi rakaman video berdurasi 13 saat yang ditularkan sebelum ini turut memaparkan detik tragis apabila tubuh mangsa ditarik ke dasar sungai oleh seekor buaya.

Operasi pencarian hari pertama yang dilakukan Pusat Gerakan Operasi Bomba berdepan kesukaran apabila air sungai di lokasi kejadian surut telah menghalang pergerakan bot penyelamat.

Difahamkan, operasi pencarian dijalankan menggunakan bot dengan radius dua kilometer di kawasan sungai Pegagau.

Operasi mencari turut melibatkan Polis Diraja Malaysia termasuk Polis Marin, Jabatan Hidupan Liar dan penduduk setempat.