Demi selamat anak tenggelam bersama Myvi, jasad bapa hilang akhirnya ditemukan

editor@bayunews.net

PUTATAN (27 MAC): Jasad lelaki yang hilang selepas sempat menyelamatkan anak lelakinya yang terjatuh bersama kereta ke dalam sungai semalam di Kampung Imbahan dekat sini akhirnya ditemui, pagi tadi.

Difahamkan, mangsa Lasibi Lawahidu, 40 tahun ketika itu sedang memancing dan meletakkan kereta Perodua Myvi yang dihuni anak lelakinya berusia 5 tahun di kawasan tebing berhampiran.

Namun, tiba-tiba saja kenderaan berkenaan bergerak masuk ke dalam sungai dan memaksa dia terjun untuk menyelamatkan anak lelakinya.

Mangsa sempat mengeluarkan anaknya daripada kereta sebelum dibantu oleh orang awam.

Bagaimanapun ketika dia menyambut kanak-kanak itu, mangsa tiba-tiba tenggelam dan terus hilang.

Mangsa ditemukan oleh pasukan penyelamat yang menggunakan dron dari Unit Dron Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pangkalan Sabah dengan jarak lebih kurang 300 meter dari tempat dia dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim mengesahkan penemuan mayat mangsa pada jam 9.15 pagi tadi.

Jelasnya, hampir 70 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi keselamatan terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Mayat mangsa telah berjaya diangkat keluar dari sungai dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQW) untuk tindakan lanjut.

“Siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikan mati mengejut,” katanya di sini.