
Datuk kepada cucu lakukan amang seksual berdepan hukuman penjara 25 tahun penjara

SEYBI SABBY
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (23 NOVEMBER): Seorang lelaki berusia 49 tahun semalam berdepan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas dua cucu lelakinya dua tahun lalu, dekat sini.
Mahkamah Seksyen menetapkan 5 Januari tahun depan untuk pengurusan kes praperbicaraan terhadap tertuduh yang merupakan pekerja kilang tayar.
Hakim Noor Hafizah Mohd Salim menetapkan tarikh terhadap tertuduh apabila kesnya dikemukakan untuk penyerahan dokumen berkaitan kes tersebut lewat Isnin.
Pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menyentuh kemaluan cucunya berusia lapan tahun di sebuah rumah dekat Tuaran kira-kira jam1 pagi hingga 4 pagi pada 12 Mei 2022.
Kedua, tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan sama terhadap abang mangsa pertama berusia 11 tahun pada masa dan tempat yang sama.
Kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Disebabkan hubungan antara tertuduh dan mangsa, lelaki itu akan berdepan hukuman tambahan mengikut Seksyen 16(1) Akta sama membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, dan sekurang-kurangnya dua sebatan, jika sabit kesalahan.