CI@UMS anjur ceramah inspirasi berbahasa Mandarin 5 April ini

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (3 APRIL): Siri Ceramah di Bawah Bayu kali ke-26 anjuran Institut Confucius Universiti Malaysia Sabah (CI@UMS) akan mengetengahkan topik “Perjalanan Kerjaya dan Kehidupan Baki Zainal: Inspirasi, Cabaran dan Peluang dengan Bahasa Mandarin”.

Poster ceramah berserta kod QR untuk pendaftaran.

CI@UMS dalam satu kenyataan memaklumkan, ceramah yang berlangsung pada 5 April 2023 di Theatrette Ahmad Nisfu, Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) akan disampaikan oleh seorang pengacara, pelakon dan penyampai radio tempatan, Baki Zainal. 

“Baki Zainal terkenal dengan kefasihannya berbahasa Mandarin. Beliau sememangnya seorang bakat yang benar-benar melambangkan semangat Malaysia.

“Beliau fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan Cina. Baki Zainal ialah hos selebriti dan penyampai TV terkenal yang telah mengacarakan banyak rancangan TV dan menerima Anugerah Televisyen Asia,” demikian menurut kenyataan itu.

Kenyataan CI@UMS turut menambah, ceramah itu memfokuskan kepada motivasi dan cabaran yang dihadapi oleh Baki, selain pengalaman dan peluangnya dalam kemajuan kerjaya apabila dia mempunyai kebolehan berbahasa Mandarin dengan fasih.

“Baki juga akan berkongsi masa sukarnya ketika menghadiri kelas harian di sekolah Cina serta kerja rumah yang perlu diselesaikan.

“Ia adalah masa yang sukar kerana dia tidak mempunyai banyak masa untuk bersosial dan perlu membuat banyak ulang kaji sendiri kerana kebanyakan ahli keluarganya tidak fasih berbahasa Mandarin.

“Dari 2014 hingga 2018 beliau menerima beberapa pengiktirafan seperti rancangan realiti terbaik, Program TV infotaimen terbaik, Hos Radio Terbaik, Hos 10 Terbaik, DJ Radio Lelaki Terbaik, Hos TV Terbaik, Hos Program Majalah Terbaik, Artis Lelaki Pilihan 10 Khalayak Terbaik, Hos Program Majalah Terbaik dan Hos TV Top 5 Paling Popular,” jelas kenyataan CI@UMS.

Program Ceramah di Bawah Bayu akan berlangsung bermula 6:20 petang, dan para peserta akan berbuka puasa bersama Baki.

Ceramah ini akan dikendalikan dalam Bahasa Mandarin, Melayu dan Inggeris. Orang ramai  dialu-alukan untuk menghadiri ceramah ini dengan mengimbas kod QR seperti yang tertera untuk pendaftaran.