Cerun Kritikal Jalan Binunuk Dibaiki, Risiko Banjir dan Runtuhan Dikurangkan

BEAUFORT : Projek pembaikan cerun di Kilometer (KM) 0.75 Jalan Binunuk bernilai kira-kira RM5.5 juta dijangka akan dapat menyelesaikan isu keselamatan dan laluan terputus yang membelenggu penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan sejak lebih lima tahun lalu.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam berkata, projek berkenaan telah diusahakan sejak 2023 dan diluluskan pada awal 2025.

Katanya, projek itu mula dilaksanakan pada November lalu, dengan jangkaan siap sepenuhnya pada Februari 2027.

Menurutnya, masalah cerun yang semakin kritikal sejak 2023 menimbulkan kebimbangan besar, terutama apabila laluan utama itu sering tidak dapat dilalui ketika musim banjir, sekali gus menyukarkan pergerakan penduduk serta pasukan keselamatan.

“Jalan ini merupakan satu-satunya laluan keluar masuk bagi Kampung Binunuk dan Kampung Balibata yang dihuni kira-kira 2,000 penduduk.

“Sekiranya laluan ini terputus, ia memberi kesan besar kepada kehidupan harian, keselamatan dan aktiviti ekonomi setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pecah tanah projek pembaikan cerun di KM0.75 Jalan Binunuk di sini pada Selasa.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkata, pelaksanaan projek pembaikan cerun tersebut bukan sahaja bertujuan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, malah memastikan kelangsungan aktiviti perniagaan dan pertanian termasuk operasi kilang pasir dan batu serta pengeluaran hasil pertanian penduduk.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor atas kelulusan peruntukan bagi projek berkenaan, yang disifatkan sebagai bukti komitmen kerajaan negeri dalam menangani isu infrastruktur kritikal demi kesejahteraan rakyat.

“Ini menunjukkan kesungguhan dan keprihatinan kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah rakyat, khususnya di kawasan luar bandar yang terdedah kepada risiko bencana alam,” katanya.

Dalam pada itu, Ruslan memaklumkan beberapa kawasan lain di sepanjang Sungai Padas yang dikenal pasti berisiko akibat hakisan tebing sungai, termasuk di Lumatai dan Jalan Suasa, akan dicadangkan untuk kajian teknikal oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada tahun hadapan sebelum kerja pembaikan dilaksanakan secara berperingkat.