Ceburi bidang perniagaan untuk jana ekonomi diri dan keluarga – Ruslan
BEAUFORT: Masyarakat khususnya golongan belia di kawasan Lumadan digalakkan untuk menceburi bidang perniagaan bagi menjana ekonomi diri dan keluarga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkata, sejajar dengan Slogan Lumadan Sejahtera, beliau sangat menginginkan lebih ramai masyarakat untuk melibatkan diri dalam bidang itu.
“Dengan adanya program penyediaaan proposal ini, maka ia boleh menjadi langkah pertama mereka untuk terus mengorak langkah menjadi usahawan berjaya di dalam bidang yang diceburi.
“Saya pasti dan percaya peserta yang hadir mempunyai latar belakang di dalam perniagaan, penternakan dan juga pertanian yang pastinya ingin mengembangkan lagi usaha mereka,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau hari ini merasmikan Majlis Perasmian Program Penyediaan Proposal Perniagaan Bagi Geran Agropreneur Muda (GAM) anjuran AJK Pembangunan Ekonomi N34 Lumadan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) di bilik mesyuarat pejabat ADUN Lumadan.
Sementara itu, Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, beliau bangga dengan penyertaan belia yang hadir untuk mendengar taklimat GAM, Penyediaan Proposal dan Bengkel Proposal.
“Semoga para peserta mendapat input dan output yang bermanfaat untuk mereka merebut peluang dan ruang yang ada ini,” katanya.
Untuk rekod, seramai 32 orang anak-anak muda berusia 18 hingga 40 tahun dari kawasan sekitar Lumadan telah menyertai program pertama oleh AJK Pembangunan Ekonomi N34 Lumadan.