
Catuan air dilaksana di Putatan, lebihan permintaan punca bekalan tidak cukup

Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
PUTATAN (14 DIS): Masalah bekalan air yang membelenggu penduduk setempat di sini sejak beberapa minggu lalu adalah disebabkan permintaan air bersih melebihi jumlah bekalan air terawat yang dihasilkan oleh loji-loji yang membekal air.
Kenyataan itu dijelaskan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya selepas mendengar taklimat yang diberikan Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Quirine Jokino berkenaan masalah air yang sedang berlaku ketika ini.
Beliau turut dimaklumkan Jabatan Air Negeri Sabah melakukan kaedah catuan air dalam jangka pendek susulan permintaan air telah melebihi jumlah bekalan air bersih di kawasan daerah Putatan yang mana sumber bekalan air diterima daripada Moyog dan Kasigui.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi taklimat bersama beberapa kakitangan Jabatan Air Negeri Sabah tentang masalah bekalan yang sedang dihadapi penduduk daerah Putatan, di Pejabat Daerah Putatan pada hari ini.
Perkara itu dilakukan supaya kawasan-kawasan yang mempunyai tekanan air rendah dapat dibekalkan bekalan air terawat pada satu jangka masa yang telah ditetapkan.
“Oleh itu, penduduk di daerah Putatan dinasihatkan peka terhadap notis catuan bekalan air dan menyediakan tangki-tangki atau tempat-tempat simpanan air di kediaman masing-masing bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk ditadah di kawasan atau premis,” tambahnya.
Katanya, pelan tindakan seperti penghantaran air akan dilakukan.
Beberapa aduan mengenai masalah bekalan air berlaku di kawasan-kawasan perumahan seperti Platinum Apartment apabila bekalan air dapat masuk ke tangki (balancing tank) namun berlaku masalah dari sudut paras air.
“Saya sudah memaklumkan kepada Jabatan Air dan mereka turut membantu menangani masalah ini. Pihak Jabatan Air akan berhubung dengan pihak pengurusan perumahan untuk cuba mengatasi masalah bekalan air.
“Jadi apabila bekalan air akan masuk ke balancing tank nanti, jumlah air yang mencukupi masuk dalam tangki dan pam air akan dapat berfungsi untuk mengepam air naik ke atas tangki simpanan di kawasan-kawasan perumahan yang bertingkat,” jelasnya.
Beliau juga turut memaklumkan bahawa itu adalah solusi jangka pendek, untuk jangka masa panjang pihak Jabatan Air dan juga Kerajaan Negeri Sabah memang telah mempunyai rancangan untuk membina loji rawatan air dan juga empangan yang akan diputuskan dalam tempoh masa terdekat nanti.
“Justeru, catuan air ini akan berterusan sehingga keadaan mengizinkan, ertinya kita berdasarkan pertumbuhan penduduk yang sudah melebihi kapasiti pengeluaran, kita memerlukan loji baru dibuat untuk menambah kapasiti yang sedia ada sekarang.
“Rancangan membina loji dan lokasi, sebenarnya feasability studies (kajian kebolehlaksanaan) sedang dibuat dan nanti keputusan muktamad akan diputuskan oleh Kabinet Negeri Sabah,” katanya.