Calon BN Parlimen Tenom Jamawi Jaafar Ikrar sambung agenda yang tergendala

SEYBI SABBY

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (3 NOV):  Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parliman P.181 Tenom Jamawi Jaafar (gambar) berazam menawarkan pelbagai agenda bagi menyambung semula agenda yang tergendela sebelum ini.

Jamawi yang berusia 48 tahun merupakan lulusan Sarjana Muda Sains Pertanian dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM)  dan menjadi Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kemabong 2018-2020 berkata, beliau bersyukur kerana terpilih sebagai calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15  (PRU15) kali ini dan berjanji akan memikul amanah itu dengan sebaiknya.

“Saya amat berterima kasih atas kepercayaan kepimpinan tertinggi (BN) khususnya kepada Pengerusi BN Pusat Dato Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi (BN) Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang meletakkan kepercayaan memilih saya sebagai calon BN di kawasan Parlimen Tenom.

“Ini merupakan satu amanah serta tanggungjawab besar yang perlu saya galas bagi memastikan Parlimen Tenom salah satu penyumbang kemenangan BN bagi membentuk kerajaan yang lebih stabil,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman serentak  calon-calon BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di sini kemarin.

Pengumuman calon-calon yang bakal bertanding pada PRU Ke-15 kali ini masing-masing diumumkan oleh Pengerusi GRS Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor manakala bagi calon-calon BN diumumkan oleh Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.

Ditanya peluang beliau pada PRU kali ini, Jamawi yang juga bekas Ketua Pemuda Umno bahagian Tenom berkata pengalaman beliau ketika memegang jawatan Ketua Pemuda Umno Tenom, beliau sering turun padang melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk kebajikan sekali gus menjadikan daerah yang merangkumi dua kawasan DUN Kemabong dan Melalap bukanlah kawasan yang asing bagi beliau.

“Saya pernah menjadi wakil rakyat Kemabong dan menjadi calon BN Dun Melalap pada PRN ke-16 dalam kawasan Parlimen Tenom, pengalaman ini mendekatkan saya dengan kehidupan rakyat di kawasan ini bagi memahami aspirasi mereka terutamanya dalam aspek pembangunan. Tugas  menyantuni masyarakat termasuk golongan muda dan kebajikan terus saya laksanakan walaupun tanpa jawatan dalam politik selepas menjadi Adun Kemabong,” jelas Jamawi.

Menurutnya, semasa menjadi Adun Kemabong banyak program-program pembangunan dapat beliau bawa ke kawasan tersebut termasuk di kawasan Melalap. Apabila berlaku ketidakstabilan politik di negeri ini, sebahagian daripada perancangan untuk membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan tersebut tergendala dan peluang menjadi calon BN pada PRU kali ini sekiranya mendapat mandat  dari rakyat di kawasan tersebut segala agenda pembangunan yang dirancang dan tergendala  sebelum ini akan diteruskan.

“Kawasan ini sememangnya berpotensi besar untuk dibangunkan dan dimajukan terutamanya dalam sektor pertanian dan pelancongan justeru tumpuan akan saya berikan kepada sektor ini disamping memastikan segala kemudahan insfrastrukur asas jalan raya, bekalan air, elektrik, pendidikan, kebajikan kesihatan dan lain lain akan diberi perhatian,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Jamawi yang juga Bekas Ketua Penerangan Pemuda Umno Malaysia berkata, menerusi Bajet 2023 Sabah menerima peruntukan RM6.3 bilion bagi projek infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kesihatan dan kemudahan Pendidikan. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan Bajet tersebut akan diteruskan sekiranya BN dapat membentuk kerajaan selepas PRU ke-15.

“Bagi menjamin pembangunan dan kemakmuran di negeri ini berterusan, amat penting bagi rakyat di negeri ini khususnya di daerah Tenom memberikan sokongan padu kepada BN agar apa yang dirancang dan telah dibentangkan dalam Bajet 2023 dapat dilaksanakankan, jika rakyat tersalah pilih kerajaan sudah tentu perancangan dasar dan pendekatan akan berubah akhirnya membawa kerugian kepada rakyat khususnya di Sabah,” tambah Jamawi.