Cadangan semak semula kadar lesen perniagaan sesuai dengan keadaan semasa

SEMPORNA : Cadangan untuk menyemak semula kadar pembayaran lesen perniagaan di Sabah dilihat praktikal dan relevan bersesuaian dengan keadaan semasa.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, pihak Kementeriannya akan menimbang cadangan itu seterusnya akan membentangkan kepada Jemaah Menteri Kabinet Sabah.

Selain itu katanya, ordinan perlesenan di negeri ini juga dilihat masih belum dibuat pindaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Apabila Pegawai Daerah Semporna membangkitkan cadangan ini, tentu sekali ianya sangat bermanfaat dari segala-galanya.

“Masa juga telah berubah dan jumlah serta kadar pembayaran perlesenan itu juga dilihat terkebelakang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah kali ke-25 di sini semalam.

Jahid berkata, cadangan itu juga dilihat mempunyai merit dan pihaknya akan menimbang untuk dibawa kepada jemaah menteri Kabinet Sabah untuk dibentangkan.

“Sekiranya perlu dibawa kepada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah,maka kita akan bawa ke DUN selepas ianya dibentangkan dalam sidang mesyuarat jemaah Kabinet,” katanya.

Pada ketika ini, kadar bayaran perlesenan bagi setiap daerah di seluruh Sabah adalah RM25 bagi setiap lesen dan dicadangkan untuk dinaikkan kepada RM50 bagi tempoh setahun.

Oleh : Seybi Sabby