Bung Moktar tumpu persediaan hadapi PRU-15 di Sabah

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU: Bahang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mula menjadi topik tumpuan tempatan masa kini susulan pembubaran Parlimen yang diumumkan semalam.

Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin mahu sayap parti seperti Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri dan Bahagian-bahagian UMNO di Sabah supaya menumpukan soal persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menerusi laporan Utusan Borneo di sini.

Menurut Bung Moktar dalam tempoh yang semakin menghampiri PRU-15, persiapan berdepan dengan pilihan raya perlu diberikan keutamaan oleh seluruh cawangan selain sayap parti pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.

“PRU-15 kali ini kita membawa misi yang cukup penting untuk menang, justeru pendekatan serta cara kita bekerja adalah untuk menang, persediaan logistik, strategi, dan pusat-pusat daerah mengundi yang sudah dibentuk perlu berada di tahap kesiapsiagaan untuk menunggu semboyan PRU dibunyikan,” katanya dalam satu perutusan sempena persidangan UMNO bahagian-bahagian di Sabah yang sedang berlangsung ketika ini.

Menurut Bung Moktar lagi, dalam mesyuarat kali ini tidak ada pemilihan jawatan dalam Persidangan Cawangan, Mesyuarat Perwakilan Bahagian dan Perhimpunan Agung justeru tumpuan adalah membentuk satu kesatuan yang kukuh dan padu untuk menghadapi PRU-15.

Jelas beliau lagi, setiap bahagian seharusnya sudah melancarkan jentera masing-masing kerana pilihan raya semakin hampir.

“PRU-15 semakin hampir walaupun belum ketahui tarikhnya. Yang pasti ianya semakin hampir, bukan semakin jauh,” katanya.

Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut meminta pemimpin UMNO di semua peringkat agar bangkit menjadi benteng untuk mempertahankan parti dan kepimpinan daripada terus diserang pembangkang.

Katanya, peranan serta tanggungjawab ini perlu dipikul bersama bagi membolehkan ahli akar umbi UMNO tidak keliru dan terjebak dalam perangkap pembangkang yang menabur pelbagai fitnah serta tohmahan terhadap parti.

“Ketua cawangan dan akar umbi UMNO tidak boleh hanya mengharapkan pemimpin pusat dan ketua bahagian memberi penjelasan, sebaliknya perlu proaktif memastikan maruah parti tidak terus dicemari.

“Kekuatan parti di akar umbi tidak boleh diambil mudah dan dikompromi, apa lagi jika ahli masih keliru dan hilang keyakinan terhadap parti,” katanya.

Menurut Bung Moktar lagi, di zaman kemajuan teknologi maklumat ketika ini dengan adanya media sosial, pihak pembangkang menggunakan platform tersebut untuk menabur fitnah dan propaganda kepada pemimpin dan parti dan justeru sayap Pemuda dan Puteri UMNO perlu lebih agresif ‘bertempur’ dalam peperangan di media sosial.

“Jangan asyik mempromosikan diri kita dengan program program yang diadakan dan asyik pertahan diri, kita perlu ‘serang’ mereka kerana pembangkang lakukan banyak kesalahan tapi kita pula tidak ambil kesempatan menyerang mereka seolah-oleh mereka bersih,” katanya.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO bahagian Kinabatangan turut melahirkan harapan agar semua mesyuarat bahagian Wanita, Pemuda dan Puteri dapat dilaksanakan secara teratur dan penuh dengan semangat perpaduan bagi menjaga keutuhan parti terus terpelihara.