Buaya ditembak mati bukan buaya baham kanak-kanak di Lahad Datu
Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
LAHAD DATU (9 DIS): Aduan orang ramai berkenaan kehadiran buaya di kawasan pesisiran pantai Bandar Lahad Datu, dekat sini telah membawa operasi pemburuan ke atas haiwan pemangsa itu giat dilakukan.
Menurut kenyataan Pegawai Hidupan Liar Daerah Lahad Datu, Silvester Saimin menjelaskan satu operasi menembak mati seekor buaya sepanjang hampir tiga meter dilakukan dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM), pada petang Khamis.
Operasi itu merupakan sebahagian usaha mengesan buaya yang membaham kanak-kanak minggu lalu.
Tindakan itu juga dilakukan kerana dibimbangi akan mengancam keselamatan penduduk susulan kehadiran reptilia itu berhampiran penempatan manusia.
Namun begitu, buaya yang ditembak mati bukanlah buaya yang diburu.
Silvester berkata, pihaknya berjaya mengesan hampir sepuluh ekor buaya di lokasi dan usaha melakukan buruan digiatkan terutama kawasan-kawasan yang mendapat aduan awam.
“Buaya yang kita tembak itu bukanlah buaya membaham kanak-kanak yang kita cari.
“Masih ada sembilan ekor buaya di kawasan ini. Saiz buaya yang membaham kanak-kanak itu dianggarkan lebih tiga meter.
“Banyak sudah kes buaya dilihat berada di kawasan pesisir pantai ini berdasarkan aduan orang awam dan ada yang telah kita buru atau ditembak mati,” katanya.
Terdahulu, Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin mengeluarkan kenyataan bahawa buaya yang berada satu kilometer dari sempadan dan hulu kampung akan diburu.
Jafry turut menjelaskan waris mangsa serangan hidupan liar boleh memohon pampasan sehingga RM20,000 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) persekutuan.
Beliau berkata nilai pampasan itu bagi kes yang membabitkan kematian, manakala kes membabitkan kecederaan bergantung kepada tahap kecederaan yang dialami.
Bagaimanapun, katanya tuntutan pampasan hanya untuk warga negara Malaysia dan perlu disahkan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah.