Buang sikap tunggu, harap Pemberian Jalur Gemilang percuma
KENINGAU : Rakyat khususnya di negeri ini perlu membuang sikap menunggu dan mengharap pemberian Jalur Gemilang secara percuma daripada Kerajaan mahupun Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, setiap individu di negara ini perlu mengubah persepsi bahawa hanya agensi Kerajaan sahaja yang berperanan meraikan sambutan Hari Kebangsaan.
“Justeru saya menyeru kepada semua untuk bersama mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing tidak kira di pejabat, rumah atau gerai dan warung mahupun kenderaan masing-masing bagi menzahirkan semangat bersyukur kita sebagai rakyat Malaysia.
“Saya juga ingin mengingatkan kepada semua dan diri saya sendiri untuk lebih peka mengenai Jalur Gemilang di sekeliling kita. Sekiranya ada ternampak Jalur Gemilang yang telah lusuh atau koyak, ambillah inisiatif untuk membeli dan menukarkannya dengan yang baharu atau maklumkan kepada pemilik premis agar Jalur Gemilang tersebut dapat diturunkan dan diganti baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Kembara Merdeka Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2022 di daerah Keningau di sini semalam.
Ellron berkata, semua individu perlu bersama bertekad untuk menerap mentaliti dan menyuntik sikap peduli dalam kalangan masyarakat supaya memandang tinggi dan menghormati Jalur Gemilang sebagai lambang identiti negara yang gah.
“Janganlah kita mengambil mudah perihal menjaga martabat identiti dan imej negara dan sama-samalah kita memelihara perpaduan sebagai sebuah keluarga besar Malaysia.
“Didiklah anak-anak kita akan kepentingannya supaya semangat cinta dan sayangkan negara bukan sahaja kepada generasi masa kini tapi juga kepada generasi yang akan datang bak kata bidalan “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”,” katanya.
Sementara itu, Ellron berkara, sebagai warganegara semua masyarakat perlu bersyukur dan berbangga menjadi sebahagian daripada rakyat di negara berdaulat.
Katanya, menerusi kemerdekaan inilah rakyat kini dapat mengecapi kehidupan dalam suasana yang harmoni, aman dan sejahtera.
“Dengan nikmat kemerdekaan yang dikecapi, kita dapat hidup dengan lebih selesa, harmoni dan makmur serta bertolak ansur dalam kehidupan harian, selari dengan tema sambutan hari kebangsaan pada tahun ini.
“Hidup dalam perpaduan antara kaum dan etnik merupakan nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya, kerana itulah ia perlu dibelai, dipupuk dan dipelihara dalam setiap insan agar kemerdekaan Malaysia dapat dipertahankan sampai bila-bila walaupun jasad, nyawa dan maruah menjadi taruhan,” katanya.