Bilik terkunci, warga emas ditemukan meninggal dunia di Sandakan

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

SANDAKAN (2 DIS): Lelaki warga emas berusia 69 tahun meninggal dunia ditemukan di dalam sebuah bilik di kawasan perumahan Batu 1/2 dekat sini, semalam.

Difahamkan mangsa Leung Sa Kau @ Leung Yew Kaw, tidak sedarkan diri ketika operasi menyelamat dilakukan di dalam bilik berkenaan.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.51 malam.

Jelasnya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dikerah ke lokasi kejadian.

Sebaik tiba, didapati pintu bilik terkunci dari dalam dan memaksa pihaknya membuka pintu menggunakan peralatan khas.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.