
Bekas lombong Tembaga Mamut berpotensi dibangunkan pusat penyelidikan, pendidikan taman moden

RANAU : Kawasan bekas lombong Tembaga Mamut berpotensi untuk dibangunkan satu pusat penyelidikan dan pendidikan Taman yang baharu dan moden.
Menteri Pelancongan,Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Arifin berkata, antara program yang boleh dilaksanakan adalah menjurus kepada penyelidikan jangka panjang rehabilitasi kawasan bekas lombong dan pemuliharaan secara ex-situ bagi spesies-spesies endemik.
Katanya, ini akan membuka peluang kepada Sabah untuk bekerjasama dengan pakar-pakar daripada institusi penyelidikan tempatan mahu pun dari luar negeri.
“Pewartaan bekas Lombong Tembaga Mamut berupa Simpanan Alam Semulajadi ini nanti akan menjadikannya sebagai penampan (buffer zone) kepada Taman Kinabalu-Tapak Warisan Dunia.
“Saya berasa yakin, Kementerian saya melalui Taman-Taman Sabah (TTS) sebagai peneraju pemuliharaan dan restorasi alam semulajadi di Sabah berupaya untuk menjadikan kawasan Lombong ini kembali menjadi reservoir/ tadahan air dan mengawal impak kepada sungai dan sosio-ekonomi kawasan kampung terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Ekspedisi Saintifik Mamut 2022 Taman Kinabalu di Tapak Bekas Lombong Mamut Ranau di sini semalam.
Jafry berkata, bagi memastikan semua rancangan pembangunan dan pengurusan yang mampan dapat dilaksanakan selari dengan halatuju matlamat kawasan yang dilindungi ini, kajian saintifik khusus perlu dilaksanakan untuk kita mengumpul semua maklumat yang diperlukan.
Katanya, satu pelan pengurusan yang komprehensif termasuklah untuk membangunkan beberapa zon dengan pengkelasan objektif pemuliharaan spesifik setiapnya akan disediakan. Sehubungan dengan itu, inisiatif Ekspedisi Saintifik Mamut akan dilaksanakan dan di lancarkan pada hari ini (semalam).
“Saya difahamkan Ekspedisi ini akan diterajui oleh TTS dan beberapa agensi berkaitan akan turut dijemput menyertai ekspedisi ini menjurus kepada bidang kajian yang diperlukan Skop kajian ini akan merangkumi bidang biologi, hidrologi, geologi, sosiologi, toksikologi, biodiversiti, geofizik, kualiti air, kualiti udara dan fitoremediasi,” katanya.
Dalam pada itu, Jafry berkata, TTS akan bekerjasama dengan beberapa pihak berkepentingan termasuk komuniti sekitar khususnya dalam aspek pembangunan industri pelancongan agar manfaatnya dapat dikecapi bersama.
Katanya, kawasan bekas lombong Tembaga Mamut dijangka akan dibangunkan bagi tujuan pembangunan eko-pelancongan mampan, disamping memulih dan mengekalkan keaslian alam semulajadinya.
Menurutnya, Kabinet Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk mewartakan kawasan bekas lombong tembaga Mamut yang berkeluasan 2,112 hektar sebagai kawasan Simpanan Alam Semulajadi dibawah Enakmen Taman-Taman 1984 pada 13 Julai yang lalu.
“Impak pelancongan di sekitarnya akan memberi kesan kepada industri ekonomi yang lain yang mana akhirnya akan memberi manfaat kepada masyarakat sekitar di daerah ini dan termasuklah kepada Negeri Sabah amnya.
“Kawasan ini sebenarnya adalah sangat strategik dimana ianya bersempadan dengan Taman Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia dan bekas Lombong Tembaga Mamut pula adalah sebahagian di dalam Tapak Geopark Kebangsaan.
“Ini juga adalah selari dengan halatuju Kerajaan Negeri diperingkat akhir ke arah pengiktirafan Aspiring Kinabalu UNESCO Global Geopark di mana kawasan ini sangat berpotensi untuk pembangunan kawasan Geo-Pelancongan,” katanya.
Sumber: Sabah Park