
Beberapa jalan raya dalam kawasan DUN Lumadan perlu diberi perhatian segera

Beaufort : Beberapa lokasi jalan raya dan kemudahan awam di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan perlu diberi perhatian segera oleh pihak bertanggungjawab.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, ia termasuklah perhatian segera dari Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi untuk pembaikan atau naiktaraf.
“Antara masalah itu, jalan rosak dan tidak selamat hingga berisiko kemalangan, jalan raya sempit, ketiadaan garisan jalan, keperluan pemasangan pembetung dan tembok penghadang banjir.
“Selain menerima aduan daripada rakyat di Lumadan, tinjauan ini juga selari dengan arahan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang mahu isu jalan raya rosak dan tidak selamat di Sabah, diselesaikan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau beberapa jajaran jalan raya dan kemudahan awam di sini semalam.
Tinjauan yang dilaksanakan di beberapa lokasi di Zon Gadong dan Zon Weston itu turut melibatkan Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, sebagai contoh, salah satu laluan utama di Kampung Suasa yant sering terputus akibat banjir kerana berdekatan Sungai Padas, menyebabkan satu tembok penghadang banjir perlu dibuat segera.
“Beberapa jalan raya perlu dinaiktaraf segera oleh JKR dan pihak konsesi kerana rosak teruk hingga berisiko menyebabkan kemalangan serta kerosakan kenderaan penduduk,” katanya.
Menurutnya, walaupun beberapa isu sudah disenarai untuk pelaksanaan JKR tahun ini, masih banyak keperluan yang tidak tersenarai.
Sehubungan itu, beliau meminta JKR Daerah Beaufort membuat satu laporan mengenai keperluan memasukkan projek-projek terlibat dalam senarai pelaksanaan untuk tahun ini.
“Saya sendiri akan bawa surat permohonan dan laporan JKR Daerah Beaufort ini kepada Ketua Menteri (Hajiji) untuk diambil perhatian sejajar dengan komitmen kerajaan negeri. Keselesaan dan keselamatan rakyat harus diutamakan,” katanya.