Bayi lelaki ditemukan di tempat letak kasut

Bayi lelaki ditemukan di tempat letak kasut

editor@bayunews.net

PETALING JAYA (19 NOVEMBER): Seorang bayi lelaki ditemukan dalam keadaan sihat di tempat letak kasut di sebuah rumah di Taman Saujana Impian, Kajang dekat sini, kelmarin.

Penemuan bayi yang hanya memakai lampin itu disedari penghuni rumah terbabit pada pukul 11.39 malam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, penghuni berkenaan kemudian menguruskan bayi itu dengan memberikan susu dan pakaian sebelum melaporkannya di Balai Polis Kajang.

“Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang nota ditinggalkan bersama bayi berkenaan. Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan awal dan disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan serta berada dalam keadaan sihat.

“Bayi itu dianggarkan berusia kira-kira dua minggu berdasarkan berat badan dan keadaan tali pusatnya,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Mohd Zaid berkata, bayi berkenaan ditempatkan sementara di Wad Kanak-kanak Hospital Kajang untuk tujuan pemantauan sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung penemuan bayi itu, untuk tampil membantu siasatan polis,” katanya.- UM