
Bantuan kewangan kepada sekolah dan badan bukan Islam bantu usaha laksana aktiviti pendidikan, keagamaan

Beaufort : Bantuan kewangan kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam yang disalurkan Kerajaan negeri berupaya membantu dalam usaha melaksanakan aktiviti pendidikan dan keagamaan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, selain itu, bantuan yang disalurkan juga merupakan salah satu hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang mahu hubungan antara kaum di negeri ini sentiasa terjaga.
“Hari ini kita menyerahakn surat kelulusan dan sudah tentu dengan adanya sumbangan kewangan ini sedikit sebanyak akan dapat membantu para sekolah dan juga badan keagmaan bukan Islam untuk menjalankan aktiviti keagamaan mereka.
“Sudah tentu Kerajaan kita pada hari ini juga mahu hubungan harmoni diantara satu sama lain sentiasa terjaga. Inilah yang kita mahu dimana pendapatan negeri kita agihkan kepada semua rakyat di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri kepada Sekolah-Sekolah dan Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam 2024 bagi Zon Pedalaman Bawah di Dewan Pa Musa di sini hari ini.
Ketika berucap, Ruslan yang mewakili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.berkata, sebanyak RM6.2 juta bantuan kewangan telah diserahkan kepada 176 sekolah dan badan keagamaan bukan Islam bagi Zon Pedalaman Bawah di sini hari ini.
Katanya, jumlah penerima itu adalah melibatkan 48 buah sekolah; 100 buah gereja dan 28 buah tokong.
“Daripada jumlah bantuan kewangan yang disalurkan, sebanyak RM3.6 juta diberikan kepada sekolah; RM1.7 juta kepada gereja dan RM877,000 lagi diagihkan kepada tokong terlibat.
“Kerajaan Sabah senantiasa prihatin dan juga mengamalkan dasar keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek untuk membantu rakyatnya tanpa mengiran kaum dan agama demi mengekalkan keharmonian masyarakat di negeri ini,” katanya.