Bajet 2023 di Sabah, Sarawak mampu tingkat pembangunan awam dan pulangan pelabur

editor@bayunews.net

KUALA LUMPUR (9 OKT): Peruntukan Bajet 2023 bagi pembangunan pengangkutan awam di Sabah dan Sarawak mampu meningkatkan pulangan pelaburan pada masa hadapan ditambah lagi Indonesia akan memindahkan ibu negaranya di Kalimantan.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Law Teik Hua menyambut baik pengumuman kerajaan menyediakan hampir RM400 juta dalam Bajet 2023 bagi pengangkutan awam terutama untuk Malaysia Barat.

Menurutnya, infrastruktur pengangkutan awam di Malaysia Barat memang agak kurang dan memerlukan peruntukan wang yang besar untuk masa depan.

“Tambahan Indonesia bakal memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan dan kita akan dapat melihat pulangan pelaburannya nanti apabila pengangkutan awam ditambah baik di kawasan Malaysia Barat.

“Saya sangat bersetuju dengan pengumuman oleh kerajaan berkaitan pengangkutan awam ini tetapi dalam masa sama pada pandangan saya soal keselamatan jalan raya juga tidak boleh diketepikan di mana dalam bajet kali ini ia tidak disentuh,” katanya ketika dihubungi.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2023 berkata, kerajaan akan meneruskan subsidi kos perkhidmatan dan meningkatkan capaian pengangkutan awam di seluruh negara.

“Perkhidmatan bas henti-henti penting kepada penduduk bandar yang menggunakan kenderaan awam untuk ke tempat kerja. Bagi tahun hadapan, RM180 juta disediakan antaranya bagi menambah baik capaian bas awam kepada warga di Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching.

“Kerajaan juga akan menggantikan 18 buah bas henti-henti kendalian MARA untuk manfaat penduduk Kedah.

“Selanjutnya perkhidmatan udara pula adalah mod pengangkutan utama bagi penduduk pedalaman Sabah dan Sarawak. Kerajaan komited untuk teruskan subsidi perkhidmatan pengangkutan udara dengan peruntukan RM209 juta untuk manfaat penduduk luar bandar,” katanya.

Zafrul berkata, kerajaan juga akan menambah baik kemudahan di tujuh lapangan terbang Sabah dan Sarawak, dengan membina ‘wheelchair ramp’ untuk manfaat 2,300 komuniti berkerusi roda yang menggunakan MASWings.

“Secara purata warga Lembah Klang yang menggunakan kemudahan rel dan bas untuk ke tempat kerja perlu berbelanja sekitar RM200 sebulan.

“Bagi mengurangkan kos perjalanan, Kerajaan akan meneruskan inisiatif pas bulanan My50 untuk manfaat hampir 180 ribu pengguna.

“Ini bermakna, My50 sebenarnya mensubsidi pengguna sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun,” katanya.

Beliau berkata, semasa Jelajah Bajet ke Kelantan, Jabatan Kerja Raya (JKR) memberi taklimat tentang feri mereka yang menyediakan khidmat pengangkutan antara Pengkalan Kubor ke Takbai, Narathiwat, Thailand kepada 30 ribu penduduk Tumpat.

“Sejumlah RM9 juta disediakan untuk JKR menggantikan feri sedia ada yang berusia lebih 34 tahun.

“Khas untuk pemilik teksi individu pula, sukacita Kerajaan bersetuju memberi pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi penjualan, pindah milik atau pelupusan teksi diperluas kepada teksi eksekutif dan teksi lapangan terbang,” katanya.