ATB 2 tahan lima warga asing, rampas 6,400 liter petrol

SEMPORNA (15 SEPT) : Lima lelaki warga asing ditahan selepas cuba menyeludup keluar 6,400 liter minyak petrol di perairan Pulau Omadal, di sini, pada Selasa lalu.

Tangkapan dilakukan selepas Pasukan Quick Reaction Force (QRF) Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) mengesan pergerakan dua buah bot dalam keadaan mencurigakan di lokasi kejadian, kira-kira jam 9 malam.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata kedua-dua bot berkenaan dilihat dari arah Tenggara Pulau Omadal menuju ke sempadan perairan Sabah.

Katanya, pasukan QRF bertindak memintas dan menahan kedua-dua bot berkenaan untuk tujuan pemeriksaan ke atas muatan yang dibawanya.

“Pemeriksaan awal mendapati lima lelaki berumur 34 hingga 62 tahun, masing-masing tiga di bot pertama dan dua lagi di bot kedua.

“Semua mereka adalah warga asing dan didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut, menemukan sebanyak 144 tong mengandungi 3,600 liter minyak petrol di dalam bot pertama, manakala 2,800 liter di bot kedua.

“Pasukan QRF menunda semua bot berkenaan ke Jeti, sebelum menyerahkan semua suspek dan barang rampasan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna.

“Semua minyak dan bot yang dirampas dianggarkan bernilai RM165,000 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Abdul Karim menzahirkan ucapan tahniah kepada Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) ATB 2 dan pasukan QRF atas kejayaan operasi ini.

“ATB 2 akan sentiasa bersiap siaga melaksanakan tugas Op Pasir dan Benteng Bersama di Perairan Pantai Timur Sabah bagi memastikan keselamatan persempadanan negara selamat,” katanya.

Sumber: Utusan Borneo