
Arthur serah sumbangan di Pusat Pemindahan Sementara Sk Pekan Ansip Keningau

OLEH SEYBI SABBY
KENINGAU (2 NOV): Sejumlah 112 orang penduduk dari Mukim Ansip di Parlimen Pensiangan yang terkesan akibat banjir telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Pekan Ansip buat sementara waktu.

Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata hujan lebat yang berterusan sejak petang semalam telah mengakibatkan air sungai naik dan menyebabkan penduduk di sekitar terpaksa dipindahkan atas faktor keselamatan.

“Agensi berkenaan yang diketuai oleh Pejabat Daerah telah mengambil tindakan sewajarnya untuk memindahkan keluarga-keluarga termasuklah warga emas, Orang Kurang Upaya dan anak-anak kecil yang terjejas ke Dewan Sekolah Kebangsaan Ansip,” ulas beliau.

Ketika mengadakan lawatan ke PPS tersebut, Arthur turut menyerahkan sumbangan wang tunai dan barang keperluan harian kepada 51 Ketua Isi Rumah (KIR) bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa-mangsa yang terjejas.

Dalam pada itu, mangsa-mangsa yang terjejas akan ditempatkan di PPS SK Pekan Ansip sehingga banjir surut dan disahkan selamat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah serta agensi yang berkenaan. Arthur turut menyatakan komitmen sebagai pemimpin tempatan untuk sentiasa memantau keperluan mangsa-mangsa di PPS SK Pekan Ansip dari semasa ke semasa sehinggalah semua mangsa dapat pulang ke rumah.
