Arifin sambut baik KPM benar murid, guru kena pakaian sukan cuaca panas
KOTA KINABALU (7 MEI): Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Arif menyarankan warga sekolah memakai pakaian sukan tanpa menetapkan sebarang warna susulan menghadapi perubahan cuaca panas melampau ketika ini.
Katanya, ia bertujuan memberi kebenaran khas kepada para guru, murid dan kumpulan pelaksana dalam berdepan perubahan iklim yang berlaku tidak menentu.
Beliau yang juga Exco Pendidikan Sabah turut mengingatkan para ibu bapa menyediakan pakaian yang sopan untuk anak- anak ketika hadir ke sekolah.
“Saya turut menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan KPM dalam menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah ketika ini.
“Aktiviti seperti merentas desa, kawad, sukan, permainan, perkhemahan dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran luar bilik darjah,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, KPM turut mengeluarkan kenyataan berkenaan kebenaran khas itu dalam mengelak sebarang strok haba terhadap kesihatan murid dan warga sekolah.