
Aplikasi khas laporan kecemasan perlu dibangun, bantu mudahkan tindakan menyelamat mangsa bencana

Beaufort : Aplikasi bagi menyalurkan sebarang aduan atau laporan kecemasan perlu dibangunkan bagi memudahkan dan mempercepat sebarang tindakan dari pihak berkaitan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, pembangunan aplikasi itu dilihat mampu membawa impak positif dalam mendigitalisasikan perkhidmatan awam serta inisiatif kerajaan untuk terus membantu rakyat.
“Kita menyarankan kepada pejabat daerah dan kerajaan supaya kita mewujudkan satu aplikasi untuk rakyat terus memberi laporan yang berkaitan.
“Bukan sahaja banjir, tetapi laporan-laporan kecemasan yang perlu mereka minta bantuan untuk dipindahkan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata dmeikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan dan menyerahkan bantuan kepada penduduk terjejas banjir di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon di sini kelmarin.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan mahu Kerajaan Persekutuan dan Negeri memurnikan kerjasama melalui agensi terlibat untuk membina bantuan rumah bertiang kepada rakyat di kawasan berisiko banjir.