AKwan bantu tingkat kualiti kepimpinan wanita

PAPAR (26 SEPT) : Akademi Kepimpinan Wanita (AKwan) komited membantu meningkatkan kualiti kepimpinan kaum wanita di Sabah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, AKwan ditubuhkan atas keprihatinan dan hasrat Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah dan Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) untuk mengetengahkan golongan wanita yang mempunyai ciri kepimpinan berkualiti.

“JHEWA dan MPWS berperanan mencungkil bakat golongan wanita untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi melalui kursus-kursus kepimpinan yang dianjurkan oleh AKwan.

“Ianya selaras dengan Dasar Wanita Negara yang menyasarkan sekurang-kurang 30 peratus pembuat dasar negara adalah daripada golongan wanita.

“Sehubungan itu, kursus hari ini amat bersesuaian kerana dapat memberi pendedahan dan ilmu yang bermanfaat kepada semua peserta terutama sekali dalam aspek kepimpinan,” ujarnya kepada media selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Kursus Kepimpinan Wanita Akar Umbi Asas anjuran AKwan di sini, semalam.

Dalam pada itu, Shahelmey mendedahkan kementeriannya sudah bersiap sedia dalam menghadapi peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga Mac tahun depan.

“Semua pusat kawalan operasi bencana negeri telah pun diarah untuk bersiap sedia menghadapi kesan Monsun Timur Laut.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menyediakan peralatan persediaan banjir di depoh utama yang terletak di Kota Kinabalu dan bekalan makanan turut diagihkan ke pusat-pusat bencana yang dikenalpasti,” tambah beliau.

Turut hadir, Pengarah JHEWA Sabah, Haslina Ismail dan Pengerusi MPWS, Datuk Dr. Tarsiah TZ Taman

Sumber: Penerangan