Aidilfitri: Maritim Malaysia aktifkan semula Op Khas Pagar laut banteras aktiviti rentas sempadan

editor@bayunews.net

GEORGE TOWN (8 APRIL): Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengaktifkan semula Op Khas Pagar Laut di seluruh perairan Malaysia bagi mengekang dan memerangi jenayah rentas sempadan pada musim perayaan Aidilfitri kali ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), selaku pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya (M) Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata operasi siri 1/2023 kali ini akan diadakan dari 9 hingga 30 April ini.

“Penjenayah mungkin beranggapan penguatkuasaan undang-undang di musim perayaan agak longgar kerana sebahagian besar petugas keselamatan bercuti dan meraikan perayaan.

“Justeru, mereka mengambil kesempatan melakukan aktiviti penjenayah seperti membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan kontraband serta barang-barang kawalan, pencerobohan serta lain-lain jenayah melalui jalan laut,” katanya selepas merasmikan pelancaran Op Khas Pagar Laut hari ini.

Katanya 800 pegawai dan anggota penguatkuasa akan terlibat, dengan kekuatan 45 buah pelbagai aset milik agensi dalam melaksanakan rutin rondaan dan penguatkuasaan di kawasan perairan negara.

Sementara itu merujuk kepada Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) setakat ini, Saiful Lizan berkata berkata pihaknya dijangka menerima kapal pertama OPV 1 pada 24 Julai tahun ini, manakala untuk OPV 2 hujung tahun ini, dan OPV 3 awal tahun depan. -Bernama