
Ahli parlimen Sandakan santuni keluarga kru kapal kargo dipercayai hilang di perairan Indonesia

Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
SANDAKAN (18 JAN): Berita kehilangan kapal kargo MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang sejak 9 Januari lepas memberi kesan mendalam buat ahli keluarga kru kapal, di sini.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee hari ini meluangkan masa melawat keluarga Mohammad Sudeh Sudin (20) yang juga salah seorang kru kapal kargo yang dilapor hilang di perairan Indonesia itu.
Sejurus tiba di kediaman keluarga Sudeh di Sandakan, ibunya kelihatan begitu sedih dan agak tertekan atas kejadian menimpa anak bongsunya.
Jelasnya, sehingga kini, tidak ada apa-apa khabar mengenai anak bongsunya ketika disantuni Vivian yang turut terharu mendengar rintihan wanita berkenaan.
Susuk tubuhnya juga kelihatan lemah dan tidak berdaya untuk bergerak sambil merenung nasib yang menimpa anaknya serta rakan-rakan kru kapal yang lain.
Kali terakhir Sudeh menghubungi mereka pada awal tahun ini sebelum berita kehilangan kapal dikeluarkan.
“Kami dimaklumkan isu ini akan dibawa ke mesyuarat kabinet jemaah menteri pada hari ini.
“Semoga segala urusan dan misi pencarian serta menyelamat dapat dijalankan dengan sebaiknya dan dipermudahkan.
“Kami turut mendoakan agar kru kapal ditemui dengan selamat dan semoga semua keluarga terus tabah dengan kejadian ini,” tambah Vivian.
Terdahulu, pada 9 Januari, kapal kargo berukuran 52 meter dan didaftarkan di Malaysia itu dipercayai hilang ketika membawa muatan 527 batang besi bernilai RM726,205 beserta lima kru.
Lima kru kapal kargo itu membabitkan tiga warga tempatan serta dua warga Indonesia.
Nakhoda kapal dikenali sebagai Adi, 43, dari Indonesia, manakala jurutera kanan kapal juga warga Indonesia, Damai Papane Ole, 57.
Warga Malaysia ketua operasi kapal, Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24; Mohammad Sudeh Sudin, 20, dan Derrent Littor, 22.
Media melaporkan kehilangan kapal kargo yang didedahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada 10 Januari lalu.
Kapal kargo berkenaan yang keluar dari jeti Perak pada 23 Disember 2022, sepatutnya tiba di Kuching pada 31 Disember.
Ejen kapal membuat laporan polis pada 9 Januari lalu bahawa lokasi terakhir kapal dikesan menerusi ‘Automatic Identification System’ (AIS) adalah pada 1 Januari di perairan Indonesia, iaitu 0.2 batu nautika dari sempadan perairan Johor.