Ahli parlimen Ranau bersama kakitangan santuni penduduk, bantu bersihkan sisa banjir di kampung terjejas

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

RANAU (7 JAN): Susulan banjir kilat yang berlaku di Ranau baru-baru ini, Pejabat Parlimen Ranau telah menangguhkan anjuran Sambutan Krismas dan Tahun Baharu di Dewan Masyarakat Ranau pada Sabtu hari ini apabila pegawai dan kakitangannya turut berganding bahu menjalankan operasi membantu membersihkan sisa banjir di kampung yang terjejas.

Simpati dengan musibah yang  melanda daerah itu, Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin bersama Ketua Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda serta kakitangan Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau turut turun padang bersama penduduk memberi bantuan dari segi tenaga dan sumbangan keperluan harian kepada keluarga yang terkesan akibat banjir kilat itu.

“Khidmat sukarelawan ini adalah inisiatif bersama kakitangan Parlimen yang telah dilakukan bermula sejak Khamis.

“Pada Jumaat bantuan dilakukan di Kg. Marakau dan Kg. Kituntul Lama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Sejak Rabu lagi, beberapa pertubuhan dan kumpulan lain turut melakukan sukarelawan terdiri daripada kumpulan belia, NGO, dan agensi di beberapa kampung terkesan akibat banjir kilat itu.

Kejadian banjir kali ini mengakibatkan penduduk sekitarnya khususnya di Kundasang dan Ranau kehilangan harta benda, seperti kediaman, ternakan, kenderaan disamping hasil pertanian susulan kejadian tanah runtuh.