ADUN Kepayan gesa Undang-Undang Perkahwinan Bawah Umur diluluskan

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (10 MAC): Kerajaan negeri digesa meluluskan pindaan Undang-Undang Perkahwinan Bawah Umur bermula tahun ini untuk mengurangkan kadar perkahwinan awal dalam kalangan masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan Jannie berkata Undang-Undang Perkahwinan Bawah Umur salah satu usaha yang perlu diberi perhatian.

“Saya harap pindahan Undang-Undang ini dapat diluluskan pada tahun ini untuk mengurangkan perkahwinan awal dalam komuniti khususnya masyarakat di Sabah.

“Draf Dasar Keterangkuman Gender juga dapat diluluskan untuk digunapakai oleh kerajaan Sabah dalam memberi keseimbangan dan meningkatkan pembangunan wanita Sabah,” katanya sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa dengan tema ‘Embrace Equity’, di sini.

Tambahnya, kesedaran dan amalan kesaksamaan jantina mencapai perubahan dan meningkatkan status wanita adalah diperlukan.

“Kesaksamaan yang diberikan wanita dari aspek sumber atau peluang yang sama, tidak mencukupi.

“Kita perlu menghayati erti ekuiti kerana wanita mempunyai keadaan yang berbeza dan perlu diperuntukkan sumber dan peluang tepat yang diperlukan bagi mencapai hasil yang diingini,” jelasnya.

Untuk rekod, sambutan Hari Wanita Antarabangsa adalah penting sebagai platform untuk menghargai sumbangan dan usaha wanita dalam semua bidang.