PKDM sasar dua kerusi untuk ditandingi pada PRU-15
KOTA KINABALU : Parti Kesejahteraan Demoktratik Masyarakat (PKDM) menyasarkan kerusi Parlimen Tenom dan Papar untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
Presiden PKDM Datuk Peter Anthony berkata, pada ketika ini pihaknya belum memutuskan jumlah kerusi yang akan ditandingi kerana mahu memberi fokus bagi memperkuat kedudukan parti di semua bahagian.
“Buat masa ini kita tidak memutuskan untuk berapa kerusi yang kita akan tandingi kerana pada ketika ini fokus kita adalah untuk memperkuat kedudukan parti disemua bahagian. Namun keputusan untuk bertanding pada PRU-15 akan dimuktamadkan pada masa terdekat apabila sampai masanya.
“Sudah pasti Tenom itu kita tidak lepaskan, saya akan pertahankan Parlimen Tenom. Selain itu mungkin juga kita akan pertahankan untuk Parlimen Papar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PKDM di sini hari ini.
Sementara itu, Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, partinya itu akan terus kekal sebagai sebuah parti yang mesra kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor meskipun permohonan menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum diterima sehingga kini.
“Saya yakin dan percaya Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor mempunyai pertimbangan sewajarnya sama ada pimpinan GRS mahu menerima atau tidak kepada permohonan kami sebelum ini.
“Ketika ini kita merupakan parti yang mesra kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri dan Kerajaan Negeri pimpinan Hajiji Noor dan memberi sokongan walaupun belum diterima dalam GRS,” katanya.
Peter yang juga bekas Naib Presiden Parti Warisan (WARISAN) keluar daripada parti itu hujung tahun lalu dan menubuhkan PKDM pada Februari lalu.
Beliau juga sebelum ini mengumumkan memohon menyertai GRS namun sehingga kini, permohonan mereka belum mendapat kata putus gabungan berkenaan.