JKDM rampas tiga lori berisi 31,775.04 liter minuman keras

KOTA KINABALU: Kegiatan penjenayah menyembunyikan sejumlah minuman keras di rumah kampung membawa padah selepas dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah, Cheong Yu Min berkata kejayaan rampasan membabitkan 31,775.04 liter itu apabila  Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu JKDM Sabah dan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) menjalankan serbuan pada 24 Ogos lalu.

“Bertindak dengan maklumat, satu serbuan terancang dijalankan kira-kira jam 8 malam di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Tamparuli Togop.

“Hasil serbuan berjaya mengesan tiga lori jenis tiga tan yang berisi minuman keras yang menyimpan keseluruhan 31,775.04 liter diletakkan di perkarangan rumah kampung berkenaan,” katanya semasa sidang media di bahagian Penguatkuasan JKDM di sini semalam.

Beliau berkata kesemua minuman keras yang dirampas dianggarkan RM123,450 manakala anggaran duti dan cukai yang terbabit adalah sebanyak RM495,849.

“Semasa serbuan dijalankan, kita tidak menemukan sebarang individu dan tiada tangkapan dilakukan berikutan rumah dalam keadaan berkunci dan tidak berpenghuni.

“Pasukan serbuan terpaksa memecah masuk rumah untuk melakukan pemeriksaan lanjut sebelum semua ketiga-tiga lori berkenaan dirampas dan dibawa balik untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata JKDM Sabah amat komited dalam usaha menangani sebarang aktiviti yang melibatkan penyeludupan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

“Masyarakat digesa supaya membantu pihak JKDM dalam usaha memerangi jenayah penyeludupan khususnya membabitkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membabitkan diri dengan aktiviti penyeludupan yang bukan saja merugikan hasil negara tetapi juga mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat,” katanya sambil menambah pihak JKDM memberi jaminan identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

Sumber: Utusan Borneo