PDM Lohan juara bola sepak Piala Merdeka Parliman Ranau

RANAU: Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lohan muncul juara keseluruhan Kejohanan Bola Sepak Piala Merdeka sembilan sebelah peringkat Parliman Ranau.

Pertandingan itu telah diadakan di padang Kampung Sinarut Baru di sini baru-baru ini.

PDM Lohan menewaskan PDM Paus pada perlawanan akhir dengan jaringan 1-0 menerusi sepakan percuma sekali gus membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000, piala dan sebuah piala pusingan.

Sementara naib johan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM8,000 dan piala.

Sementara itu, pasukan PDM Tagudon Lama berjaya menewaskan pasukan PDM Kituntul Baru 4-3 untuk tempat ketiga, mereka  menerima hadiah RM6,000 dan piala, manakala tempat ke-4 (PDM kituntul) membawa pulang hadiah berjumlah RM1,000.

Penjaring Gol Terbaik dimenangi oleh Iqbal Ekhwan (PDM Lohan), Penjaring Terbanyak Mohd. Hidayat (PDM Pinaosuk), Pemain Terbaik Mohd. Muaz Shaugi (PDM lohan) dan Pasukan Terbaik (PDM kituntul) masing-masing menerima hadiah RM200.

Hadiah-hadiah telah disampaikan Timbalan Menteri Dalam Negeri II merangkap Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin yang juga penaja utama hadiah-hadiah kejohanan.

Jonathan dalam ucapan penangguhan kejohanan  itu memuji komitmen serta kerjasama padu daripada pihak penganjur iaitu Persatuan Muafakat (PEMUKA) Kg. Sinarut Baru.

“Kita juga merakamkan syabas dan tahniah atas penyertaan 36 pasukan melibatkan belia berusia dari 17 sehingga 35 tahun. Anda bermain dengan penuh semangat kesukanan dan disiplin yang tinggi,” katanya.

Beliau menyatakan kesediaan pejabat Parlimen untuk membantu menjayakan apa juga program sukan serta aktiviti kebudayaan.

Sumber: Utusan Borneo