
44 kakitangan Sawit Kinabalu sertai perarakan sambutan Hari Kebangsaan

KOTA KINABALU : Kumpulan Sawit Kinabalu menjadi antara kontinjen yang menyertai perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah yang berlangsung di Padang Merdeka di sini Rabu lalu.
Sambutan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Hadir sama memeriahkan sambutan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salag; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun serta jemaah Kabinet Negeri Sabah.

Turut hadir dalam sambutan tersebut adalah Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu Datuk Bacho Jansie dan juga barisan pengurusan kanan syarikat.
Kontinjen Sawit Kinabalu yang diwakili seramai 44 orang kakitangan dari wilayah Pantai Barat; Sandakan dan Ibu Pejabat itu diketuai oleh Arlizam Arifin dan pertama kali turut sertai dalam perarakan di peringkat negeri sejak pandemik COVID-19.
Penyertaan Sawit Kinabalu dalam perarakan itu adalah bagi bersama-sama memeriahkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan negara yang diraikan tanpa kemeriahan akibat pandemik COVID-19.
Kumpulan Sawit Kinabalu merupakan sayap kerajaan Negeri Sabah yang berdaya saing dalam menjalankan aktiviti berkaitan perladangan dan perniagaan sawit, penternakan lembu daging, pembangunan hartanah dan agribisnes seperti durian dan nenas sebagai aktiviti kepelbagaian dalam membantu merancakkan lagi ekonomi negeri Sabah.
Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ini akan sentiasa mendokong usaha kerajaan negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri selaku Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu untuk meningkatkan lagi tahap ekonomi rakyat Sabah dan mempastikan kelestarian sumber makanan secara berterusan di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Kumpulan Sawit Kinabalu akan menghantar kontinjen perbarisan ini setiap tahun bagi mewakili kesemua warga Sawit Kinabalu yang mempunyai semangat kebangsaan dan cintakan tanah air.