
Masyarakat Tionghua main peranan penting dalam pembangunan ekonomi

PENAMPANG: Masyarakat Tionghua memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, masyarakat Tionghua terkenal sebagai orang yang bijak dalam perniagaan dan peranan mereka dalam ekonomi amat penting.
“Kerajaan negeri memberi peluang semua rakyat dalam aspek pembangunan dan penjanaan ekonomi, termasuk kepada masyarakat Tionghua.
“Oleh itu, kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif baharu antaranya melibatkan pelaburan syarikat milik kaum Tionghua memandangkan mereka amat terkenal dengan kearifan dalam dunia perniagaan.
“Walaupun berdepan dengan pandemik Covid-19, kerajaan akan terus berusaha dalam memastikan perjalanan pentadbiran kerajaan dan penjanaan ekonomi negeri berjalan baik untuk kepentingan pelbagai kaum di Sabah,” katanya semasa merasmikan Pesta Tanglung sempena Perayaan Menyambut Kuih Bulan yang diadakan di sini, malam Ahad.
Dalam pada itu, Hajiji turut menzahirkan rasa bangga kerana masyarakat di Sabah diberikan kebebasan untuk meraikan kebudayaan masing-masing.
“Amalan ini menjadikan negeri ini unik serta harmoni dan budaya ini perlu diteruskan dalam memastikan kesatuan masyarakat majmuk berbilang kaum,” tambahnya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr. Joachim Gunsalam, Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Datuk Matbali Musah, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Luyang, Gee Tian Siong./Penerangan-