Masyarakat diseru lebih peka pastikan kelestarian alam terjaga

KOTA KINABALU : Masyarakat diseru untuk lebih peka dan sensitif akan keseimbangan alam bagi memastikan kelestarian alam di negara ini dapat terus terjaga dengan sempurna.

Menteri Alam Sekitar dan Air Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, setiap masyarakat mempunyai tanggungjawab yang perlu dipikul bersama-sama bagi menangani isu kerosakan akibat bencana alam kesan daripada pemanasan global.

“Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan kelestarian alam.

“Antaranya ialah program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) serta penganjuran aktiviti KUDAH iaitu Kutip Sampah Sambil Riadah di kawasan komuniti masing-masing.

“Aktiviti yang dirancang di bawah program DSK ini ialah pembinaan laluan denai di sepanjang jajaran sungai, kolam atau badan air sebagai kawasan riadah dan rekreasi. KASA mensasarkan sepanjang 10,000 kilometer denai menjelang 2030 sebagai langkah pencegahan pencemaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Akhir Debat Alam Sekitar antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kali ke-28 bersempena Hari Alam Sekitar Negara 2022 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar) KASA Noor Afifah Abdul Razak.

Tuan Ibrahim berkata, menggunakan pendekatan nature-based solution, program ini dijalankan secara bersama antara KASA, jabatan-jabatan serta agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Katanya, selain itu juga, kerjasama strategik turut dijalankan bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), badan-badan korporat, institusi pengajian tinggi, sekolah, pemimpin masyarakat, komuniti setempat dan pemimpin belia.

“Saya yakin, usaha-usaha pelestarian ini tidak terbatas oleh masa, tempat dan juga individu. Sebaliknya setiap daripada kita boleh memulakan dan melaksanakannya dengan pelbagai cara yang tersendiri.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama kita menyokong usaha yang digerakkan oleh KASA dan agensi-agensi di bawahnya terutamanya oleh Jabatan Alam Sekitar untuk terus melestarikan alam sekitar demi bumi yang hanya satu ini,” katanya.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dinobat sebagai johan menewaskan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam Pertandingan Akhir Debat Alam Sekitar antara IPT kali ke-28 kali ini.

Pertandingan debat yang telah bermula sejak 20 Ogos 2022 yang lalu menyaksikan sejumlah 26 pasukan daripada 26 buah IPT bersaing untuk melayakkan dan mendapatkan tempat ke pusingan akhir.

UIAM yang dibarisi tiga pendebat iaitu Muhammad Wafi Anwar Roslan, Anis Afina Hassan Sanusi dan Muhammad Ilham Hafiz Azmi pulang dengan hadiah piala pusingan, wang tunai RM8,000, hadiah iringan dan sijil penyertaan. Muhammad Wafi Anwar bin Roslan turut dinobat sebagai pendebat terbaik dalam pertandingan akhir ini.

Manakala hadiah sagu hati separuh akhir dimenangi oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaya (UM). Pendebat Terbaik Liga dimenangi oleh Abdullah bin Nudin dari Universiti Sains Malaysia.

Oleh: Seybi Sabby